Thursday, August 5, 2010

Majlis Zikir

Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit.

Baginda bersabda:
Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firman-Nya: Dari mana kamu datang?
Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu.
Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan?
Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari-Mu.
Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?
Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan.
Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga-Ku?
Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan.
Allah berfirman: Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa?
Para Malaikat menjawab: Dari Neraka-Mu, wahai Tuhan.
Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu?
Para malaikat menjawab: Belum.
Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Neraka-Ku.
Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunan-Mu.
Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan.
Para Malaikat berkata lagi: Wahai Tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu.

Baginda bersabda:
Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.

(Riwayat Muslim)

4 comments:

  1. masyaAllah..post yg bagus.

    *rindu pd halaqah dzikir menggamit kembali*

    ReplyDelete
  2. Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (Al-Ahzab: 41-42)

    ReplyDelete
  3. Mohon ijin untuk facebook yang saya miliki

    ReplyDelete
  4. Salam.
    Silakan copy artikelnya ke facebook anda. Semoga bermanfaat.

    ReplyDelete